Tahukah anda bahawa selain daripada Lapoi, ada 1 lagi baju tradisi warisan suku kaum Dusun Kimaragang? Kita biasanya terbiasa melihat Lapoi dipakai ketika musim Pesta Kaamatan oleh jelitawan Unduk Ngadau, namun tiada satu pun yang pernah memakai baju ini di mana-mana Pesta Kaamatan mahupun majlis kahwin diadakan. Ada satu orang saja yang saya tahu pernah pakai baju ni... NENEK saya.. (^_^). Baju tersebut diberi nama "KINALING". Saya sendiri pun tidak tahu sebenarnya. Saya hanya mengetahuinya bila saya bertanyakan kepada nenek saya tentang pakaian tersebut yang mana pada ketika itu dia sedang menyulam labuci untuk dijadikan hiasan baju tersebut. Menurut nenek dan ibu saya, pakaian ini kebanyakannya dipakai oleh masyarakat Dusun Kimaragang di kawasan Pitas.
Melihat keunikan seni sulaman dan reka bentuknya, saya merasa amat tertarik dan menyimpan angan-angan untuk memilikinya. Alangkah gembiranya hati saya bukan kepalang apabila nenek saya menghadiahkan kepada saya sepasang baju Kinaling siap dengan corak bunga mawar. Apatah lagi bila baju itu disulami corak membentuk nama saya.. Saya rasa itulah baju kinaling yang paling asli kerana ia tidak diukur menggunakan alat pengukur seperti baju2 lain. Ianya dipotong terus mengikut bentuk badan dan kemudian dijahit (tau la dulu2..mana ada pita pengukur tu kan?) lalu dihiasi dengan sulaman benang berwarna warni dan labuci berkilauan.
Satu lagi yang unik pada baju ini ialah cara untuk memasang butang amat menarik di mana seutas benang digunakan untuk menutup bahagian depan baju. Benang tersebut dililitkan berselang-seli sehinggalah ke butang yg terakhir. Terdapat lebih kurang 10 pasang butang kesemuanya. (ala..macam ada satu sampul surat besar tu kan...itu benang dikasi lilit sama itu benda yg bulat2 tu..mcm butang juga la.)
Saya rasa, warisan ini harus diketengahkan dan diwariskan seni pembuatanya kepada generasi baru terutamanya masyarakat Dusun Kimaragang di kawasan Pitas, kerana tidak mustahil suatu hari nanti seni ini tidak ada pewarisnya lagi dan seterusnya pupus sama sekali.
Cuma satu yang saya tidak pasti, benarkah pakaian ini adalah pakaian tradisi masyarakat Dusun Kimaragang? Hanya kajian yang terperinci terhadap seni warisan ini yang boleh merungkaikannya.
P/s: Sudahlah nda kena ukur, pastu, main jahit2 saja...nasib baik muat jugak. Hahaha..